Panduan Memberi Nama Anak Dalam Islam

10:26:00 AM 0 Comments A+ a-

Nak bagi nama anak ni kadang-kadang susah jugak. Tambah-tambah kalau masing-masing lain-lain pendapat. Dari awal lagi saya cukup berkenan dengan satu nama ni, walaupun masa tu tak tau lagi jantina baby apa. Tapi macam yakin je nak nama ni. Kalau kenanya keluar jantina lain, pening pulak nak cari nama, sebab memang 1 ni je saya prepare. Takde backup-backup.

Balik kampung awal bulan hari tu, FIL asyik tanya dah ada ke nama untuk anak, saya cakap dah. Pastu bila dia tanya lagi saya jawab belum pulak. Hehe. Sebab masa tu tak bagitau En. Asben pun lagi. Lagipun dia cakap awal sangat nak pikir pasal nama. Tup-tup balik je dari kampung, terus bukak topik pasal nama. Al-kisahnya sebab FIL ada bagi satu buku macam kitab lama panduan menamakan anak. Buku tu dah la. Dah kuning pun kertas dia. Ditulis dalam tulisan jawi.

Nama dalam buku tu tak banyak sangat. Dia suggest bagi nama mengikut hari dan waktu anak tu lahir. SO maknanya memang takleh nak prepare awal-awal la kalau betul-betul nak follow buku tu. Tapi saya tak kira, kalau betul jantinanya nanti, saya nak jugak nama yang saya prepare ni. Then combine la dengan nama dalam buku tu. Kalau boleh takmo la panjang-panjang. Saya lagi suka nama yang ada satu perkataan je. Senang nak panggil kan.

Tadi google jumpa topik ni. Jom kita share panduan memberi nama untuk anak ;-)

1) Nama memberi kesan kepada kehidupan seseorang.
Pepatah (Arab) menyebut: ‘Bagi setiap yang empunya nama, pasti ada bahagian daripada namanya’. Hakikat ini diperakui oleh Ibnul Qayyim. Katanya: “Kebanyakan orang-orang yang hina, nama mereka munasabah dengan diri mereka. Dan kebanyakan orang-orang mulia dan tinggi, nama mereka sesuai dengan diri mereka”.

2) Waktu memilih nama.
Dalam sunnah Nabi SAW, terdapat kelonggaran pada waktu memberi nama. Samada pada hari pertama, atau dalam masa tiga hari pertama, atau pada hari ketujuh. Pilihlah mana-mana yang digemari.

3) Siapakah yang berhak memberi nama?
Jika kedua-dua ibu bapa bersetuju dengan satu nama, maka ia suatu yang baik. Tapi, kadangkala mereka berselisih. Dalam situasi ini, yang berhak ialah bapanya. Tapi, jika kuasa veto bapa boleh menjejaskan keharmonian keluarga, eloklah dicari nama yang dipersetujui oleh kedua-duanya. Ataupun meminta orang lain yang memberikan nama yang elok, sebagaimana sesetengah sahabat meminta Nabi SAW meletakkan nama anak-anak mereka.

4) Nama anak mesti dibinkan kepada bapanya, bukan ibunya.
Demikianlah arahan Allah Taala dalam surah al-Ahzab, ayat 5 yang bermaksud, “Serulah mereka dengan nama bapa-bapa mereka”.

5) Pilihan nama yang baik.
Nama yang baik ialah nama yang sebutannya elok, dan maknanya juga baik. Pepatah (Arab) menyebut, ‘Kewajipan ayah terhadap anaknya ialah: memilih baginya ibu yang baik, memberinya nama yang baik, dan mengajarnya adab yang baik’.

6) Contoh nama-nama yang digemari syarak ialah;
- Abdullah dan Abdul Rahman
- Nama yang dimulakan dengan ‘Abd’, seperti: Abdul Malik, dan Abdul Aziz.
- Nama para Nabi seperti: Muhammad, Ibrahim, dan Musa.
- Nama orang-orang soleh, seperti nama-nama sahabat.

7) Mengelak daripada memberi nama-nama yang haram.
Seperti:
- Nama ‘Abd’ yang dihubungkan dengan selain Allah, kerana Abd bermaksud ‘hamba’. Maka haram memberi nama: Abdul Syams, Abdul Qamar, Abdul Nabi, Abdul Husain, dan seumpamanya.
- Nama yang khas untuk Allah sahaja, seperti: Al-Rahman, Al-Khaliq.
- Nama-nama berhala, seperti: Al-Laat, Al-Uzza, Isaaf dan Naelah.
- Nama yang menunjukkan sifat yang tidak layak bagi diri seseorang, seperti: Malikul Amlak (Raja segala raja), dan Sayyid al-Naas (Penghulu segala manusia).
- Nama-nama Syaitan, seperti: Al-Walhan, Al-A’war, dan Al-Ajda’.

8) Seboleh-bolehnya hendaklah menjauhi nama-nama yang makruh.
Antaranya:
- Nama yang memberi maksud suatu yang kurang disenangi, seperti: Al-Harb (Peperangan), Fadhih (Yang membuka aib), Suham (sejenis penyakit unta).
- Nama-nama yang memberi makna yang merangsang nafsu, contohnya: Fatin فاتن (Penggoda).
- Nama-nama yang membawa maksud dosa dan maksiat, contohnya: Sariq (Pencuri).
- Nama-nama seperti: Firaun, Qarun dan Haman.
- Nama-nama haiwan yang terkenal dengan sifat dan perumpamaan yang tidak elok, contohnya: Himar (Keldai), dan Al-Kalb (Anjing).
- Nama-nama yang digabungkan dengan perkataan ‘Al-Din’ (Agama) dan ‘Al-Islam’, seperti: Dhiyauddin, Saiful Islam, Nurul Islam, dan seumpamanya. Tujuannya untuk memelihara kedua-dua nama ini (Al-Din dan Islam) daripada menjadi nama individu yang tidak layak.
- Nama-nama yang digabungkan daripada dua nama. Kerana para salaf dahulu tidak memberi nama melainkan satu perkataan sahaja. Pada zaman-zaman terkemudian, timbul nama-nama gabungan, seperti: Muhammad Ali, Ahmad Yunus dan lain-lain.

9) Menukar kepada nama yang baik. 
 Jika ditakdirkan seseorang diberikan nama yang tidak menepati kehendak syarak, contohnya nama yang diharamkan, maka penyelesaiannya ialah dengan menukar nama. Dalam hadis disebut bahawa Rasulullah SAW menukar nama yang buruk kepada nama yang baik. Direkod oleh Tirmizi.
Kesimpulan, pilihlah nama yang cantik dan bertepatan dengan syarak. Jangan hanya melihat kepada sebutan yang menarik dan glamour.

Source: http://namanamaislam.com